Sunday, May 25, 2008

Tokoh-Tokoh Kemerdekaan


Dato' Onn bin Jaafar

Dato' Onn lahir pada tahun 1895. Dato' Onn sejak kecil dipelihara oleh Sultan Ibrahim. Beliau mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajaran ke England. Dato' Onn pernah bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930. Pada tahun 1934, Dato' Onn menjadi pengarang Lembaga Malaya dan harian Lembaga. Disamping itu, Dato' Onn juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa Zaman Pendudukan Jepun, Dato' Onn menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor. Pada 1 hingga 4 Mac 1946, 41 persatuan Melayu menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman. Hasil daripada mesyuarat, sebuah badan yang mewakili orang Melayu menentang Malayan Union akan ditubuhkan. Kongres Melayu Ketiga kemudiannya diadakan di Istana Besar Johor Bahru pada bulan Mei, 1946. Kongres inilah yang melahirkan UMNO dengan Datuk Onn sebagai president yang pertama.

Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn Datuk Jaafar dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, Datuk Onn meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO. Di bawah kepimpinan Dato' Onn, UMNO telah berjaya memaksa kerajaan British membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu, memperketatkan syarat-syarat kerakyatan dan memberi hak istimewa Melayu.
Dato' Onn bercadang untuk membuka keahlian UMNO kepada semua orang tanpa mengira kaum. Cadangan tersebut ditentangan. Oleh yang demikian, Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai president UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 dan 26 Ogos 1951.Namun begitu, UMNO telah menggabungkan parti-parti yang dianggotai oleh kaum lain iaitu MCA dan MIC menjadi parti Perikatan pada tahun 1955.
Dato' Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya selepas meninggalkan UMNO. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955. Sekali lagi, partinya gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya umum. Walau bagaimanapun, beliau masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan 1959. Dato' Onn meninggal dunia pada tahun 1962. Namun, tidak siapa pun yang dapat melupakan jasa Dato' Onn kepada negara dan bangsa. Dato Onn Jaafar mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah seorang daripada anak mereka termasuk Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn.
Natijahnya, Dato' Onn mempunyai pandangan yang berbeza dengan ahli-ahli UMNO yang lain. Beliau ingin membuka pintu UMNO kepada kaum-kaum lain menyertainya tetapi ahli-ahli UMNO menggangap tindakan ini sebagai satu ancaman. Walau bagaimanapun, Dato' Onn tetap merupakan seorang yang berani dan berusaha dengan bersungguh-sungguh demi negara dan bangsa.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj lahir pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Ayahanda beliau, Sultan Abdul Hamid Halim Shah adalah Sultan Kedah yang ke-24 dan bonda beliau, Cik Menyalara, adalah anak kepada Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah dalam kerajaan Thai ketika pemerintahan Raja Rama V.Semasa kecilnya, putera raja ini suka mencuri keluar daripada kawasan istana. Beliau suka bergaul dengan orang kebanyakan dari semua peringkat masyarakat. Beliau telah mulakan persekolahan di Sekolah Rendah Melayu, kemudian ke English Medium School di Alor Star, dan mengaji Quran di sebelah petang, sebelum dihantar bersama tiga orang kekandanya ke Debsirindir School di Bangkok pada 1913. Pada 1916, beliau pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School.
Kemudian, Tunku Abdul Rahman menerima biasiswa kerajaan negeri untuk belajar di Universiti Cambridge, England. Tunku menerima Ijazah Bachelor of Arts pada 1925 dan kemudian meneruskan pendidikan di sekolah undang-undang di Inner Temple. Enam tahun kemudian Tunku pulang tanpa menamatkan pelajarannya.

Tunku pernah bekerja di dalam perkhidmatan awam Kedah dan pernah dilantik sebagai Pegawai Daerah Kulim dan Sungai Petani. Pada 1947, Tunku berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian undang-undang dan akhirnya dipanggil ke bar di Inner Temple ketika usianya 45 pada tahun 1948.
Di London pada "zaman sekolah kali kedua" inilah Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein (kemudiannya Datuk dan Tun). Pada masa itu Tunku adalah Presiden Persatuan Melayu Great Britain and Abdul Razak yang berumur 26 pada masa itu, merupakan setiausahanya. Pada 1949, beliau pulang ke Tanah Melayu. Kepulangan itu ternyata bukan merupakan akhiran sebuah perjalanan tetapi permulaan satu kehidupan yang baru. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya, walaupun menerima gaji yang sama seperti di Alor Star, tetapi mendapat elaun bulanan sebanyak RM150. Kemudian, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.
Pada masa itu, semangat kebangsaan sedang marak di kalangan orang-orang Melayu, dengan Datuk Onn Jaafar mengetuai Umno dalam perjuangan menentang Malayan Union tajaan Britain. Pada Ogos 1951, kemelut mula terserlah dalam kepimpinan Umno. Krisis dalaman ini akhirnya telah menyebabkan Datuk Onn meletak jawatan sebagai presiden parti pada Oktober pada tahun itu. Ketika itu, rata-rata orang Melayu mengharapkan kepimpinan Tunku Abdul Rahman untuk menggantikan Datuk Onn. Tunku yang bersetuju mengambil alih tampuk pimpinan Umno akhirnya memegang jawatan itu selama 20 tahun. Pada tahun-tahun pertama Tunku memimpin Umno, salah satu tugas utama beliau adalah untuk menyatukan semua kaum utama di Tanah Melayu dan mencapai satu persetujuan dalam isu-isu bersangkutan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan.
Pada awal 1952, satu pilihanraya kecil telah diadakan di majlis perbandaran Kuala Lumpur, di mana Umno dan Persatuan Cina (MCA) yang baru ditubuhkan bersetuju untuk tidak bertanding menentang satu sama lain. Hasil daripada persefahaman ini, lahirlah perikatan Umno-MCA, dan kedua-dua pihak telah muncul sebagai pemenang. Seterusnya pada 1955, Parti Perikatan ini telah disertai oleh Kongres India Se-Tanah Melayu (MIC) yang mewakili komuniti India. Hasilnya, merupakan satu perkongsian kuasa yang sangat kukuh dan mewakili majoriti besar rakyat Tanah Melayu. Banyak isu yang sebelum ini sukar untuk diselesaikan telah menjadi jelas dan hanya memerlukan perbincangan biasa untuk mencapai kata sepakat.
Pada 1954, Tunku telah mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil. Pada tahun berikutnya, pilihanraya persekutuan umum yang pertama telah diadakan, dan Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London telah diadakan pada tahun 1955, dan akhirnya England telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, dan 31 Ogos 1957 telah diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England selepas berjaya menuntut kemerdekaan Tanah Melayu, Tunku telah mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari 1956 di Bandar Hilir, Melaka. Perkhabaran ini telah disambut dengan penuh kesyukuran daripada penduduk Tanah Melayu.
Bila England dengan rasminya menurunkan bendera mereka di Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957, Tunku telah mengetuai orang ramai bersorak 'MERDEKA!' Gambar hitam-putih Tunku yang menjulang tangannya, dan suara beliau yang penuh emosi tetapi lantang dan tegas dalam mengetuai sorakan Merdeka itu kini merupakan gambar kenangan Kemerdekaan yang paling bermakna sehingga kini, dan menjadi peringatan paling nostalgik, sinonim kepada saat bersejarah itu. Sumbangan besar Tunku kepada negara tidak berhenti setakat itu sahaja. Selepas kemerdekaan, beliau meneruskan usaha-usaha pembinaan negara yang telah beliau bina; memupuk persefahaman antara kaum dan memajukan ekonomi untuk memperkukuhkan pentadbiran beliau. Rancangan Tanah Melayu yang pertama, yang telah dimulakan sejak 1956, telah teruskan dalam usaha mengisi Kemerdekaan yang baru dimiliki.
Tunku telah membawa Tanah Melayu ke arena antarabangsa; menyertai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Komanwel, mengambil dasar anti-apartheid dan menyokong perjuangan rakyat Palestin serta Congo. Pada September 1963, Tunku telah menjadi bapa kepada sebuah lagi negara baru, Malaysia, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).
Tunku telah memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) pada 1961; menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Gabungan ini kemudian telah dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar iaitu Association of Southeast Asian Nations (Asean) pada 1967. Era pentadbiran Tunku merupakan zaman penuh pancaroba dan pancawarna, dan tentunya tidak semua berjalan lancar seperti yang diharapkan. Krisis-krisis seperti Konfrontasi Indonesia, perpisahan Singapura, peristiwa 13 Mei dan Darurat 1948-1960 menggegarkan seluruh negara, namun Tunku berjaya melaluinya dengan kebijaksanaan, kesabaran, toleransi yang tinggi serta peri kemanusiaan.
Tunku Abdul Rahman tidak pernah kelihatan sebagai seorang yang warak, namun idea-idea dan penglibatannya dalam aktiviti-aktiviti keagamaan telah mencetuskan pemikiran dan penubuhan institusi-institusi besar yang kekal hingga ke hari ini. Selepas menjadikan Islam sebagai agama rasmi setelah Merdeka, pada 1960 Tunku telah menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim. Tunku memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum beliau mangkat. Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama. Acara ini merupakan hasil cambahan ilham Tunku, yang menganjurkan pertandingan peringkat negeri yang pertama di Kedah pada 1951.
Tunku bukan saja berusaha keras untuk meninggikan imej Islam di Malaysia dan di rantau Asia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Pada 1969, beliau membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), di mana beliau dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama. Seiringan itu, beliau telah mengusulkan penubuhan Bank Pembangunan Islam (IDB) sebagai satu institusi khusus dalam kerangka OIC. Tunku juga merupakan presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) dari tahun 1982 hingga 1988. Sebagai seorang pencinta sukan, Tunku telah memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa. pada 1957. Pada tahun berikutnya, beliau telah dilantik sebagai president pertama Asian Football Confederation (AFC), jawatan yang disandangnya sehingga 1976.
Walaupun Tunku Abdul Rahman dilahirkan di istana, beliau tidak direncanakan menjadi Sultan di negerinya, tetapi menjadi pemimpin kepada seluruh negara. Keperibadian beliau yang selalu merendah diri dan cepat mesra telah menarik ribuan pengikut dan sahabat, dan telah menghadiahkan Kemerdekaan kepada negara tanpa pertumpahan darah. Semangat kebangsaannya yang tidak pernah luntur telah membawa Tanah Melayu daripada sebuah jajahan Britain yang tidak dikenali hingga menjadi anggota baru dunia yang bermaruah. Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno pada 1971, dan tempatnya diambil oleh timbalannya yang merupakan sahabatnya sejak belajar di London, Datuk Abdul Razak Hussein.
Tunku, Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia yang dicintai mangkat pada 6 Disember, 1990 ketika berusia 87 tahun dan telah disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star.

Tun Abdul Razak Hussein

Abdul Razak bin Hussein dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pekan, Pahang, dan telah dibesarkan oleh datuknya dalam keluarga yang memelihara tradisi, adat resam dan agama. Abdul Razak membesar sebagai seorang kanak-kanak yang sering disebut sebagai contoh di kampungnya – taat kepada orang tua, cerdas dan bersopan-santun.Abdul Razak mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu di Kampung Langgar di Pekan, Pahang pada zaman awal pemerintahan British. Dia bukan seorang pelajar miskin – ayahnya ialah Datuk Hussein, salah seorang pembesar wilayah di negeri Pahang – namun dia pergi ke sekolah berkaki ayam, semata-mata kerana perasaan hormat kepada rakan-rakannya yang rata-rata datang dari keluarga miskin dan tidak mampu membeli kasut sekolah.
Begitulah awalnya kesedaran yang tertanam pada diri Abdul Razak tentang kepayahan hidup orang Melayu luar bandar ketika itu. Pada 1934 Abdul Razak melanjutkan pengajian ke peringkat menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, di mana dia terus menunjukkan kecemerlangannya; bukan sahaja di bidang akademik tetapi juga di padang bola, hoki dan kriket, juga dalam kepimpinan pelajar.

Tamat pengajian menengah, Abdul Razak memasuki Kolej Raffles di Singapura, tetapi pengajiannya terbantut bila Perang Dunia Kedua meletus. Dua tahun selepas perang berakhir, pada 1947 Abdul Razak mendapat biasiswa kerajaan British untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di England.
Semasa di England, Abdul Razak mula aktif dalam politik. Pada masa itu, bakal Perdana Menteri Tanah Melayu , Tunku Abdul Rahman, juga sedang mengambil jurusan undang-undang di tempat yang sama. Tunku pada waktu itu adalah Yang Dipertua Persatuan Melayu Great Britain manakala Abdul Razak adalah setiausahanya. Abdul Razak juga telah menubuhkan Forum Tanah Melayu, yang merupakan wadah untuk pelajar-pelajar dari Tanah Melayu berdiskusi tentang isu-isu tanah air. Pada 1950 Abdul Razak menerima ijazah undang-undang dari Lincoln's Inn. Sekembali ke tanah air, Abdul Razak menyertai Perkhidmatan Awam. Pada tahun yang sama, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno. Pada tahun berikutnya, Abdul Razak dilantik menjadi Timbalan Presiden Umno, ketika usianya 29 tahun. Sebagai sahabat kepada Tunku Abdul Rahman sejak zaman pengajian di London, Abdul Razak cepat dapat meletakkan dirinya sebagai orang nombor dua Umno dalam melaksanakan pelan pembangunan untuk Tanah Melayu.
Pada 1953 Abdul Razak telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, dan dua tahun berikutnya pada usia 34, Abdul Razak menjadi Menteri Besar Pahang yang termuda. Bila Parti Perikatan memenangi pilihan raya umum pertama pada 1955, Datuk Abdul Razak telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama Tunku Abdul Rahman. Pada tahun berikutnya Abdul Razak berada di London sekali lagi bersama Tunku Abdul Rahman, kali ini sebagai anggota rombongan Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada Britain.
Tidak sampai 18 bulan selepas Kemerdekaan dicapai, Abdul Razak telah dipertanggungjawabkan memikul tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar. Abdul Razak menjalankan kedua-kedua tugas dengan penuh tanggungjawab dan tenaga yang tidak mengenal erti gagal. Malah, sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri Luar Bandar, Abdul Razak terus bangkit bertindak, merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan melalui siri rancangan lima-tahun. Sepanjang sepuluh tahun Abdul Razak memegang portfolio itu, beliau telah menjelajah sejauh tidak kurang 60,000 batu setahun ke setiap daerah di seluruh negara. Beliau telah mempamerkan iltizam yang tinggi dalam memperbaiki taraf kehidupan penduduk luar bandar.
Rancangan Buku Merah dan Bilik Gerakan yang dipelopori Abdul Razak mencatit setiap butir perkembangan projek di setiap daerah – rintangan, kegagalan, kemajuan dan kejayaannya. Pada awal 1960an ternyata para petani dan nelayan di seluruh negara mula menikmati hasil usaha mereka, suatu yang amat jarang berlaku sebelum itu.Tentunya, Abdul Razak bukan sahaja menumpukan usahanya kepada pembangunan luar bandar semata-mata. Selain mengusahakan penubuhan Felda, Felcra, Risda dan badan-badan lain yang bersangkutan pembangunan luar bandar, Abdul Razak juga mengusulkan penubuhan institusi-institusi lain seperti Bank Bumiputera, Mara, ITM, Universiti Kebangsaan, Perbadanan Nasional Berhad, Petronas dan Perbadanan kemajuan Ekonomi di setiap negeri.
Sebagai Menteri Pelajaran pertama, Abdul Razak membentuk Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran di pusat-pusat pendidikan. Dengan dasar yang berpandangan jauh ini, keharmonian kaum telah dapat disemaikan di peringkat kanak-kanak. Dikira dari hari pertama Abdul Razak memikul tugas sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membina sejumlah 3,000 buah sekolah, manakala tiga juta orang dewasa yang buta huruf telah dapat membaca dan menulis. Selepas pilihan raya tahun 1969, satu perselisihan kaum telah tercetus di Kuala Lumpur, ditiupkan pula oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Keadaan darurat telah diisytiharkan dan sebuah badan dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan, dengan Abdul Razak sebagai pengarahnya. Abdul Razak mengepalai MAGERAN selama 21 bulan. Di bawah pengurusan bijaksana Abdul Razak, ketenteraman dapat dipulihkan dan kedua-dua pihak bertelagah dapat berbaik semula dan bekerja bersama seperti sebelumnya. Pada September 1970, Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua, selepas Tunku meletakkan jawatan dari kerajaan dan Parti Perikatan. Tun Abdul Razak menyambung usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Tunku, mengisi Kemerdekaan yang baru dicapai dengan pelbagai projek pembangunan ekonomi dan sosial.
Pentadbirannya yang tidak sampai enam tahun telah menyaksikan pembangunan yang begitu pesat di seluruh negara. Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada pertengahan 1970 untuk membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama. Jika disenaraikan satu-persatu sumbangan Tun Abdul Razak kepada negara, pastinya ia akan menjadi buku yang tebal, namun di antara pemberiannya yang paling berharga ialah pengwujudan Dasar Kebudayaan Nasional, yang telah menyediakan asas penting bagi pembentukan satu budaya Malaysia yang unik dan menggabungkan ciri-ciri semua kaum serta kesucian agama; dan pengenalan Rukunegara sebagai ideologi nasional yang menggariskan hasrat serta ikrar rakyat Malaysia ke arah mencipta masyarakat Malaysia yang saksama, progresif, liberal dan bertatasusila.
Di sebalik perwatakannya yang pendiam dan lemah lembut, Tun Abdul Razak sebenarnya adalah seorang wira berani yang sanggup mengharungi seribu rintangan dalam memajukan dan membela nasib rakyat. Bertepatanlah bila beliau dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Malaysia. Untuk kestabilan serantau, Abdul Razak mengusulkan pengwujudan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) bagi Asia Tenggara. Beliau juga telah merintis jalan bagi menjalin hubungan yang lebuh baik dengan Republik Rakyat China. Dua tahun selepas menjadi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak membuat keputusan untuk menjemput Dr Mahathir Mohamad, yang tersingkir pada 1969, kembali ke pangkuan Umno. Natijah dari keputusan ini telah mencipta beberapa dekad yang paling bermakna dalam sejarah Malaysia.
Tun Abdul Razak meninggal dunia akibat leukemia di London pada Januari 1976. Pemergiannya yang tiba-tiba ketika rakyat sedang menikmati pembangunan, telah menggoncang seluruh negara. Tun Abdul Razak tidak sempat melihat hasil terbaik usaha-usahanya, tetapi batu asas pembangunan yang telah diletakkannya untuk Malaysia telah membuka ruang untuk negara meneruskan pembangunan yang lebih pesat seperti yang dinikmati hingga hari ini.

Tun Hussein Onn

Tun Hussein bin Onn adalah anakanda kepada Allahyarham Dato' Onn bin Jaafar yang memimpin ke arah penubuhan UMNO, malah Tun Hussein sendiri adalah salah seorang pengasas UMNO. Beliau dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari 1922. Tun Hussein mendapat didikan awal di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Beliau dibesarkan di dalam suasana dunia berada di ambang Peperangan Dunia Kedua lantas mendorongnya membuat keputusan menjadi seorang tentera dengan memasuki Pasukan Tentera Johor sebagai seorang pegawai kadet. Beliau kemudiannya mamasuki Maktab Tentera British di Dehra, India dan setelah ditauliahkan beliau menyertai Regimen Hyderabad ke 19.
Bermula tahun 1942 beliau terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, beliau ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras beliau merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun.

Apabila Perang Dunia Kedua tamat beliau pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang. Tun Hussein kemudian menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila ayahandanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Disamping penglibatannya dalam politik, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1950 beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
Tun Hussein kemudianya menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Beliau kemudiannya meninggalkan alam politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus pada tahun 1958.
Sekembalinya ke tanah air belaiu membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Ibarat sireh pulang ke ganggang beliau menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO pad tahun 1964. Pada Jun 1969 beliau dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertiggi UMNO). Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Perdana Menteri Tun Razak. Dalam UMNO beliau meniti hirarki dengan pantas apabila dipilih sebagai Naib Presiden pada tahun 1972 dan kemudiannya dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos 1973 oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail.
Pada 13 Ogos 1973 beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memegang potfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Kepulangan Tun Razak ke Rahmatullah pada 14 Januari 1976 telah mengejutkan seluruh negara. Berikutan itu dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 17 Januari beliau telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO. Khamis, 15 Januari 1976, Tun Hussein Onn mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada 1978 belaiu menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Pada 15 Mei 1981 Tun Hussein menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Takdir telah menentukan bahawa Tun Hussein dilahirkan untuk mewariskan perjuangan. Ketika menjadi Perdana Menteri beliau telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Tun Razak khususnya dalam menggerkkan 'Dasar Ekonomi Baru'. Di bawah pentadbirannya beliau telah memperkenalkan Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.
Sebagai seorang perwira, beliau fasih tentang hal ehwal keselamatan. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan dimodenisasikan apatah lagi rantau Asia Tenggara ketika itu cemas ekoran jatuhnya Vietnam Selatan ke tangan komunis dan mekernya cita-cita 'Teori Domino' komunis. Semasa pentadbirannya usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan di bandar-bandar telah diperhebatkan malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan intelligen yang berjaya.
Tun Hussein akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang melayari Malaysia meniti arus pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi. Dasar-dasar dan program-program yang diketegahkannya tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Keamanan negara yang diperkukuhkannya telah menarik pelabur luar menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil politik dan ekonominya. Sumbangan beliau yang terbesar ialah menegakkan tiang keamanan yang kukuh.
Tun Hussein bin Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad. Selepas bersara beliau telah mengabadikan diri kepada kerja-kerja kebajikan. Dalam sejarah, Tun Hussein Onn akan sentiasa dikenang sebagai 'Penyambung Warisan Yang Terbilang'. Beliau juga dikenali sebagai 'Bapa Perpaduan' kerana berjaya memupuk semangat perpaduan berbilang kaum yang lebih erat dalam masyarakat Malaysia. Beliau mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah disandang oleh ayahandanya, mewarisi program pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh setia. Malah beliau pula mewariskan kerajaan kepada Dr. Mahathir dalam keadaan yang stabil dan UMNO dalam keadaan yang begitu kukuh.
Beliau pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 dalam usia 68 tahun di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.

Tun Dr. Mahathir Mohamad

Dilahirkan pada 20 Disember 1925, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri Malaysia sejak 22 tahun yang lepas. Dr Mahathir menerima pendidikan rendah dan menengah di Alor Star sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine (yang kemudiannya dikenali sebagai Universiti Malaya) di Singapura pada 1947. Selepas mendapat ijazah perubatan, Dr Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Star, Langkawi dan Perlis Dari 1954 higga 1957. Pada 1957 beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, Maha Clinic di Alor Star.
Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945. Bila Umno ditubuhkan pada 1946, Dr Mahathir adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Pada 1964 beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar berikutan pilihan raya umum. Dr Mahathir adalah ahli Majlis Tertinggi Umno sejak 1965, sehingga perselisihan beliau dengan presiden Umno ketika itu, Tunku Abdul Rahman memaksa beliau keluar dari parti pada 1969. Semasa di luar parti pad 19790, Dr Mahathir menulis buku The Malay Dilemma. Buku kontroversial itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu, telah diharamkan dan pengharamannya hanya ditarik balik selepas Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun kemudiannya.

Bila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir masuk semula ke dalam Umno pada 1972. Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, di mana beliau menang tanpa bertanding. Selepas pilihan raya, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya. Tidak lama selepas itu Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Pada pertengahan 1981 Perdana Menteri Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya. Pada Julai 1981 Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat, dan dua hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Dr Mahathir kini adalah pemimpin paling lama memegang jawatan di Asia Tenggara.
Sumbangan Dr Mahathir kepada Malaysia bukan sedikit, malah terlalu banyak jika ingin disenaraikan satu persatu.
Pada tahun-tahun awal pentadbirannya, Dr Mahathir telah melancarkan Dasar Pandang ke Timur, di mana kerajaan berpaling kepada negara-negara Timur yang maju seperti Jepun dan Korea Selatan untuk tujuan usaha sama, perdagangan, pendidikan tinggi dan aspek-aspek lain yang difikirkan bersesuaian. Lebih kurang pada masa yang sama, Dr Mahathir memperkenalkan kempen "Bersih, Cekap, Amanah" yang bertujuan meningkatkan produktiviti dan menanamkan etika kerja serta usaha ke arah kecemerlangan. Menyusul selepas itu ialah kempen "Kepimpinan Melalui Teladan" yang berhasrat memupuk sifat-sifat kepimpinan yang berkesan bagi dicontohi dan diamalkan oleh segenap lapisan kakitangan Kerajaan. Barangkali, sumbangan Dr Mahathir yang paling signifikan ialah idea dan inisiatifnya dalam membawa Malaysia dari sebuah ekonomi berasaskan pertanian kepada yang berasaskan industri, pada pertengahan 1980an. Berikutan langkah berani dalam percubaan menyaingi negara-negara maju (seperti terbukti dengan penubuhan HICOM dan pengeluaran kereta nasional pertama, Proton Saga pada 1985), Dr Mahathir memperkenalkan pula slogan "Malaysia Boleh" – yang pada hakikatnya bukan sekadar slogan kosong yang mahu mengatakan keupayaan Malaysia melakukan apa sahaja. Lebih dari sekadar slogan, Malaysia Boleh adalah konsep yang digunakan sebagai salah satu strategi ke arah mempromosikan Malaysia dan membuka rakyat Malaysia kepada dunia penuh peluang dan kesempatan. Lebih penting, konsep Malaysia Boleh adalah pernyataan keyakinan yang telah menjadi pendorong berkuasa tinggi, yang telah memungkinkan ramai rakyat Malaysia mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Pada 1990 Dr Mahathir melancarkan Wawasan 2020 – pelan sembilan cabaran yang menggariskan hasrat dan halatuju kerajaan dan rakyat Malaysia iaitu untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020. Taraf negara maju yang dibayangkan Dr Mahathir bukanlah yang meniru cara hidup di negara-negara maju yang ada ketika ini, tetapi yang berlandaskan moral dan nilai-nilai murni mengikut acuan Malaysia sendiri. Pada 1996 Dr Mahathir memacu Malaysia setapak lagi meninggalkan era ekonomi pertanian mundur, kali ini ke arah Zaman Maklumat, dengan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Ekonomi berasaskan pengetahuan yang dirangsangkan oleh pembinaan MSC adalah peringkat ketiga peralihan ekonomi Malaysia – yang akan membawa negara ke taraf negara maju menjelang 2020. Antara lainnya, projek MSC merangkumi aplikasi-aplikasi seperti kerajaan elektronik, tele-perubatan, dan kad pintar serbaguna.
Di satu hujung MSC terletak Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur manakala di satu hujung lagi adalah KLCC, pembangunan gergasi yang menampilkan bangunan pejabat tertinggi di dunia, Menara Berkembar Petronas. Juga terletak di sepanjang koridor ini adalah pusat-penyelidikan dan pembangunan berteknologi tinggi, dan Putrajaya, bandar pintar pertama di dunia yang kini menjadi pusat pentadbiran Malaysia. Kesemua projek berbilion-ringgit ini, dan juga projek kereta nasional pertama Malaysia serta projek-projek mewah yang lain seperti Menara Kuala Lumpur, Jambatan Pulau Pinang dan banyak lagi projek-projek bertaraf dunia, kerap menghadapi kritikan sewaktu ianya mula dilaksanakan. Namun Dr Mahathir bukanlah seorang yang berpandangan cetek, seperti katanya baru-baru ini: "Kita sudah biasa dengan orang yang mengatakan apa yang kita buat itu salah, tapi kini telah terbukti mereka patut menarik balik kata-kata mereka pada hari kemudian."
Ramai menganggap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling berani dan lantang sehingga kini. Di tanah air mahupun di arena antarabangsa, Dr Mahathir secara berani dan terbuka menyuarakan pendirian negara. Beliau dianggap jurucakap kepada negara-negara Dunia Ketiga mahupun Dunia Islam. Antara lainnya, Dr Mahathir menjadi pengkritik utama kuasa Barat tentang kegagalan menangani pedagang matawang yang menjadi punca krisis ekonomi pada lewat 1990an. Kemudian bila keganasan antarabangsa memuncak pada awal alaf baru, Dr Mahathir dengan lantang mengecam tindakan pengganas, dan berulang kali menegaskan bawa satu-satunya cara menangani keganasan ialah dengan mencari puncanya.Pada 22 Jun 2002 di hari terakhir Perhimpunan Agung Umno ke56, Dr Mahathir membuat satu pengumuman yang mengejutkan seluruh negara, bahawa beliau ingin meletakkan jawatannya dalam kerajaan dan parti. Selepas rayuan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi serta penyokong-penyokong parti, Dr Mahathir kemudiannya mengumumkan yang beliau akan terus memimpin negara sehingga selesai Sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada Oktober 2003 yang mana Malaysia menjadi Pengerusi. Untuk memastikan peralihan kuasa yang lancar, Dr Mahathir menamakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya.
Dr Mahathir telah menyatakan bahawa meskipun beliau akan bersara, beliau akan terus mnyumbangkan usaha dan tenaga ke arah memajukan parti dan negara. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad adalah pemimpin serba boleh, yang mungkin hanya satu dalam sejuta. Beliau adalah doktor, arkitek, jurutera, artis, pakar niaga dan pemidato. Beliau juga adalah guru, pemikir, perancang dan pelaksana. Beliau adalah ayah dan sahabat. Paling penting, beliau adalah negarawan terulung yang dilahirkan di bumi bertuah ini.
Pada Mei 2003, satu koleksi 14 buku tentang pemikiran dan wawasan Dr Mahathir telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sebuah institut pemikiran Dr Mahathir juga sedang dibangunkan. Di waktu Malaysia menyambut Ulangtahun Kemerdekaan yang ke46 ini, rakyat berasa amat terhutang budi kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di atas wawasan jauh dan sumbangan gergasinya kepada negara. Hampir separuh dari 46 tahun usia Kemerdekaan negara, kita berada di bawah kepimpinan beliau yang dinamis dan tidak mengenal penat lelah.
Selepas persaraan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 2003, nama beliau terus terpahat sebagai Bapa Pemodenan Malaysia, negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga.

KEPIMPINAN

Kepimpinan yang jitu dan berkesan akan membawa kepada perlaksanaan matlamat sesuatu organisasi atau kumpulan. Itulah yang ditonjolkan oleh pemimpin negara dalam mengatur dan melaksanakan tujuan masing-masing dari zaman pra merdeka, menuntut kemerdekaan, mengisi kemerdekaan dan membangunkan negara.

Tokoh-tokoh seperti Dato' Onn Jaafar, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abd. Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Badawi bukanlah nama yang asing dalam negara. Namun tidak ramai juga yang tahu mengenai latar belakang, sumbangan dan falsafah mereka dalam perjuangan negara selama ini hingga nama Malaysia kini dikenali diseluruh pelusuk dunia.

Untuk itu, laman Web Merdeka PSB 2005 kali ini cuba mengupas ketokohan kepimpinan 6 tokoh tersebut yang melatari susur galur sejarah perkembangan negara hingga ke hari ini. Pemilihan tokoh-tokoh ini bukanlah cuba untuk menidakkan sumbangan tokoh-tokoh lain yang turut mempunyai nilai aspirasi yang sama namun dari merekalah, kita dapat berpijak dengan gagah, berdaya saing dan maju di muka bumi tercinta ini.

Dari era pra kemerdekaan, menuntut kemerdekaan, mengisi kemerdekaan, membangunkan negara, menegakkan kedaulatan negara, mempertahankan maruah negara dan membawa kemajuan kepada negara, tokoh-tokoh tersebut berjaya mewarnakan episod penting Persekutuan Tanah Melayu hinggalah dikenali sebagai Malaysia. Ia dilakukan dengan gaya kepimpinan yang tersendiri dan menarik untuk dicungkil. Kepimpinan Melalui Teladan.